Friday

Saiyidina Uthman Bin Affan R.A

Saiyidina Uthman Bin Affan R.A. Jutawan.


Di era kebangkitan Islam dahulu terdapat tokoh usahawan dan peniaga yang paling berjaya sekali. Dialah sahabat Rasul yang banyak mengorbankan hartabendanya bagi menegakkan perjuangan Islam. Beliau ialah Saiyidina Uthman Bin Affan r.a.


Ketika suasana pergolakan di Mekah menjadi tegang dan meruncing disebabkan kaum musyrikin Quraisy melakukan tekanan yang hebat terhadap kaum Muslimin, Saiyidina uthman r.a berserta isterinya adalah termasuk rombongan berhijrah ke Abyssinia. Beliau tidak pernah memikirkan kerugian perniagaannya yang ditinggalkannya itu kerana beliau sedar bahawa hijrah tersebut adalah termasuk dalam usaha untuk menegakkan Islam. Sekembalinya beliau dari Abyssinia, beliau pun tinggal di kota Mekah buat sementara waktu. Kemudian beliau telah melakukan hijrah pula ke Madinah untuk menyusul Rasulullah s.a.w yang telahpun lebih dahulu berhijrah di kota tersebut.


Setelah berada di Madinah, Saiyidina Uthman r.a pun mulalah menjalankan usaha perniagaannya hingga beliau berjaya menjadi usahawan yang berjaya. Namun kekayaan dan hartabendanya banyak digunakan untuk menyahut seruan jihad menegakkan kesucian Islam. Antara pengorbanan Saiyidina Uthman Bin Affan terhadap Islam ketika di zaman permulaan perjuangan Islam di Madinah, beliau pernah membeli sebuah kolam yang bernama Bir Ruma dari seorang Yahudi untuk kaum Muslimin yang menghadapi kekurangan air. Pada saat itulah Rasulullah s.a.w bersabda, "Barangsiapa yang antara kamu yang membeli sumur Ruma lalu dijadikannya wakaf bagi keperluan kaum Muslimin serta ia menimba air sumur tersebut maka orang yang berbuat demikian itu Allah akan menyediakan tempat minuman baginya dalam syurga." Tatkala Masjid Madinah terasa sempit kerana semakin ramai orang yang bersolat di dalamnya, dengan spontan Saiyidina Uthman membeli lima rumah yang sederet untuk dibangunkan sebagai tambahan masjid yang lebih besar .


Selain daripada pengorbanan hartabenda, Saiyidina Uthman Bin Affan r.a juga salah seorang penulis wahyu dan juga pernah menjadi utusan Rasul untuk menemui kaum Quraisy pada tahun keenam hijrah. Disebabkan besarnya pengorbanannya terhadap Islam maka tidaklah menghairankan kiranya beliau tergolong salah seorang yang paling diridhai oleh Rasulullah s.a.w pada waktu wafat baginda.


Khalifah Uthman Bin Affan r.a telah dipilih sebagai Khalifah apabila wafatnya Saiyidina Umar Ibnul Khattab. Pada masa zaman pemerintahannya, keadaan pemerintahan Islam dari semasa ke semasa mula menjadi bertambah luas dan mula menempuh satu zaman peralihan dari kehidupan asal orang-orang Arab menuju suatu kehidupan baharu dan pada zamanyalah bermulanya zaman kemewahan hidup yang timbul daripada hasil penaklukan negeri-negeri yang baharu.


Zaman pemerintahan beliaulah maka orang-orang Islam mula merasa hidup mewah dan menerima kemakmuran. Meraka yang menghadiri majlis-majlis jamuan Khalifah Uthman pada zaman itu melihat perbezaan besar jika dibandingkan dengan jamuan yang diadakan pada zaman Khalifah Umar. Sebagai seorang Khalifah beliau merasa bahawa rakyatnya berhak menikmati hidup yang makmur itu, tetapi beliau tidak membenarkan kepada orang-orang Islam bersenang-senang dengan nikmat kemakmuran itu hingga melanggar hukum Allah.


Saiyidina Uthman terbunuh pada 35 Zulhijjah tahun 35 Hijrah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home